Sunday, June 21, 2015

MENYUSUKAN ANAK KETIKA BERPUASA


Semakin menghampiri bulan Ramadhan, hati setiap ibu yang menyusukan anak mereka pasti akan terdetik sedikit rasa bimbang. Bukan bimbang tidak mampu menunaikan ibadah puasa tersebut tetapi gusar apabila memikirkan bagaimana mereka akan menyusukan si kecil sedangkan mereka terikat dengan ibadah puasa. Risau pengeluaran susu ibu akan merudum dan tidak dapat menyesuaikan diri untuk menyusukan anak dalam keadaan berpuasa.
tips berpuasa bagi ibu menyusu 1
Itu dilema kebanyakan ibu-ibu yang menyusu bayi termasuklah saya, suatu masa dahulu. Jika anda juga ada dilema yang sama, anda perlu baca artikel ini sehingga habis. Saya akan share dengan anda tips berpuasa bagi ibu menyusu.
     Islam Itu  Mudah. Islam Itu Indah
Di dalam islam, ibu yang menyusukan bayi dibolehkan berbuka puasa sebagai salah satu bentuk keringanan yang ditawarkan. Tetapi anda perlu tahu kenapa anda berbuka puasa kerana ia akan mempengaruhi cara penggantian hari berpuasa yang ditinggalkan dari segi qadha’ dan fidyah. Rujuklah pada yang pakar.
Banyak kajian yang dijalankan oleh penyelidik di seluruh dunia tentang berpuasa oleh ibu menyusu bayi. Kajian mendapati berpuasa tidak akan mengurangkan pengeluaran susu ibu tetapi jika berlakunya dehidrasi yang teruk kepada si ibu, akan menyebabkan susu ibu merudum.
Hasil kajian juga mendapati berpuasa tidak mendatangkan kemudaratan terhadap ibu-ibu yang menyusukan anak jika mereka istiqamah dalam mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat semasa berpuasa.
Kajian yang dijalankan di Afrika Barat mendapati bahawa berpuasa pada bulan Ramadhan tidak memberi kesan kepada pengeluaran susu ibu yang menyusukan bayi tetapi kemungkinan komposisi susu ibu tersebut akan berubah.
tips berpuasa bagi ibu menyusu 2
Hal ini adalah sejajar jika dikaitkandengan pemakanan ibu semasa bulan Ramadhan kerana nutrien susu adalah bergantung kepada pemakanan ibu. Seandainya pemakanan sihat dan sempurna yang diamalkan, ia tidak akan mengundang masalah terhadap komposisi susu tersebut tetapi jika terdapat kekurangan dalam pengambilan makanan, kemungkinan komposisi tersebut akan berubah.
Namun, ia tidak mendatangkan masalah terhadap kesihatan bayi. Ini kerana, ia boleh dilihat sebagai suatu kitaran iaitu, ibu- ibu boleh menggantikan makanan atau zat yang tidak cukup tersebut selepas waktu berbuka. Selagi mana pemakanan sihat diutamakan, tiada masalah yang diundang buat ibu dan bayi yang menyusu.
Penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat juga menunjukkan tiada kesan yang signifikan terhadap pengurangan susu ibu semasa berpuasa di bulan Ramadhan. Badan wanita yang menyusukan bayi akan membuat beberapa penyesuaian metabolik semasa berpuasa untuk memastikan agar pengeluaran susu ibu tidak terganggu. Sungguh hebat penciptaan Allah.
Kajian juga menunjukkan bahawa walaupun si ibu berpuasa selama 24 jam, kandungan lemak dalam susunya tidak akan berubah. Jika anda makan terlalu sedikit dan berat badan mula turun, jenis lemak dalam susu anda mungkin berubah, tetapi jumlahnya tidak berubah. Walaupun payudara itu sendiri boleh menghasilkan lemak susu, jenis-jenis lemak yang lain akan diperolehi daripada simpanan lemak dalam badan anda sekiranya ia tidak diperolehi melalui pemakanan anda.
Rasa risau itu sepatutnya tidak perlu ada jika kita faham bahawa berpuasa memberi kita lebih banyak manfaat berbanding kemudaratan. Kemudaratan hanya berlaku dalam kes- kes terpencil yang diharuskan dalam agama untuk berbuka puasa.

Berikut adalah saranan dan tips berpuasa bagi ibu menyusu bayi yang anda boleh cuba :

  1. Untuk mencegah dehidrasi, minum air dalam kuantiti yang cukup.
    • Menyusu bayi memang menyebabkan kita berasa kerap dahaga. ambil air yang mencukupi ketika berbuka puasa dan ketika bersahur. Ia akan memberi kesan kepada tubuh anda untuk keesokan harinya. Jika badan anda kurang air, anda akan berasa tidak sihat dan keletihan sepanjang hari
  2. amalkan cara pemakanan yang betul
    • makan makanan yang mempunyai indeks glicemik (glycemic index – GI) yang rendah. GI ialah unit pengiraan bagi kesan karbohidrat pada tahap gula dalam darah. Karbohidrat yang terurai dengan cepat semasa penghadaman mempunyai GI yang tinggi manakala karbohidrat yang terurai lebih lambat dan melepaskan glukosa secara beransur-ansur ke dalam darah mempunyai GI yang rendah.
  3. Buat persediaan berpuasa
    • beli barang keperluan dan buat kerja rumah yang berat sebelum bermulanya bulan puasa
  4. Simpan diari makanan supaya anda boleh memastikan anda makan dan minum dengan cukup pada waktu malam.
  5. Berehat dan duduk di tempat sejuk sebanyak mungkin pada waktu siang.
  6. Ambil suplemen tambahan khas untuk ibu menyusu bayi kekal bertenaga ketika berpuasa.
Sesungguhnya Ramadhan akan menjadi lebih bermakna jika sebagai ibu, kita tidak mengambil mudah akan hal melaksanakan puasa dan meneruskan penyusuan bayi. Seboleh yang mungkin untuk meminimumkan pilihan berbuka puasa jika tiada apa-apa masalah ketika menyusukan bayi.
Semoga membantu.
SM Wan Faridah Binti Muntek

No comments:

Elegant Rose - Working In Background